Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, mengakui keterujaan untuk melakukan balingan terbaik menjadi punca dia melakukan beberapa kesilapan sehingga tiga balingannya dibatalkan dalam Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand hari ini.
Keadaan itu turut menyaksikan dia menduduki tempat keenam tetapi Jackie menganggapnya sebagai satu pencapaian yang lebih baik berbanding sewaktu menduduki tempat kelapan dalam edisi 2019.
Bagaimanapun, daripada segi catatan, ia gagal memberikan kepuasan buatnya memandangkan dia hanya mencatatkan 65.07 meter sewaktu balingan ketiga sebelum dua balingan selepas itu dibatalkan dan yang terakhir pula sekadar 62.79m.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Jackie berkata: "Saya masih tidak berpuas hati dengan catatan kerana saya yakin boleh melakukan 66m dan ke atas.
"Tetapi balingan saya banyak terbatal, di mana tiga daripada enam terbatal.
"Saya memberikan segalanya dalam kesemua enam balingan saya kerana saya mahu layak ke final.
"Mungkin itu menjadi puncanya," katanya.
Muzaffar Musa
Thu Jul 13 2023