OLAHRAGA
Kejohanan Olahraga Asia: Irfan Shamsuddin kembali ke podium dengan raih gangsa
Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, menamatkan penantian enam tahun untuk kembali menjejakkan kaki ke podium Kejohanan Olahraga Asia apabila memenangi pingat gangsa acara itu di Bangkok, Thailand hari ini.
Pemegang rekod kebangsaan itu melakukan lemparan sejauh 59.63 meter dalam percubaan keduanya, sekali gus meraih tempat ketiga acara final berkenaan biarpun kurang 2.92 meter berbanding rekod terbaiknya.
Wakil China, Abuduaini Tuergong, muncul pemenang pingat emas dengan 61.19m manakala atlet Kuwait, Essa Al-Zenkawi, memenangi perak dengan 60.23.
Untuk rekod, kali terakhir Irfan memanjat podium Kejohanan Olahraga Asia adalah ketika memenangi perak dalam edisi di Bhubaneswar, India pada 2017.