Kejohanan Olahraga Asia: 0.02 saat pisahkan Azeem dengan podium
Ammar Hakim
Julai 14, 2023 19:57 MYT
Julai 14, 2023 19:57 MYT
Pelari pecut utama negara, Azeem Fahmi, menamatkan saingan final acara 100 meter di tempat kelima saingan Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Selepas layak ke separuh akhir semalam, Azeem turun dalam saringan pertama dengan melakukan catatan masa 10.35 saat untuk menempah ke final.
Rakan senegara, Khairul Hafiz Jantan, bagaimanapun gagal mengikut jejak langkah Azeem apabila menamatkan perlumbaan saringan kedua di tempat keenam dengan catatan masa 10.50s.
Azeem bermula di lorong ketujuh bagi aksi final menampilkan permulaan yang cemerlang. Bagaimanapun, langkah Hiroki Yanagita, memastikan pingat emas buat Jepun dengan catatan masa 10.02s sekaligus meraih pingat emas.
Perak menjadi milik pelari Arab Saudi, Abdullah Abkar Mohamed (10.19s).
Saingan merebut pingat gangsa terbahagi kepada empat pelari, dan ia menjadi milik Hassan Taftian dari Iran yang melakukan catatan masa 10.23s.
Azeem menamatkan perlumbaan di tempat kelima, berkongsi catatan masa 10.25s dengan pelari Qatar, Femi Aeun Ogunode.
Untuk rekod, Azeem merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat yang dilakukannya ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun lalu.