OLAHRAGA

Kejohanan MSSM: Halimatul raih emas

Penulis Jemputan 26/04/2018 | 08:47 MYT
Atlet dari Sabah, Halimatul Saadiah Mohammed Raja, membuat persediaan baik sebelum ke Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 apabila meraih emas acara 200m berpagar wanita dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Panasonic, Shah Alam, hari ini.
Halimatul unggul dalam acara kegemarannya itu bagi menepati sasaran skuad Sabah untuk menambah pingat emas pada hari keempat kejohanan.
Mengakui gementar sebelum memulakan larian, namun bekas pemenang kategori bawah 12 tahun pada 2015 itu tampak yakin sebaik detik permulaan.
"Saya rasa sedikit gementar kerana persaingan kali ini disertai lawan pada tahun lalu yang agak kuat. Dalam masa sama, saya terharu dapat memenangi saingan kali ini," katanya.
Menepati keperluannya sebagai atlet Sukma Sabah buat kali pertama tahun ini, Halimatul bakal menuntut ilmu di Filipina bagi memastikan ada emas bakal dilakarnya di Perak nanti
"Seminggu selepas kejohanan ini, saya akan ke Filipina bagi menjalani latihan untuk ke Sukma 2018. Pagar yang digunakan lebih tinggi berbanding biasa, jadi saya agak risau," ujarnya.
Pingat perak acara itu dimenangi wakil dari Selangor manakala gangsa milik atlet Johor.
;