OLAHRAGA

Kejohanan MSSM: Fakhrul tebus kekecewaan lalu

Penulis Jemputan 24/04/2018 | 12:17 MYT
Atlet olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Pulau Pinang, Muhammad Fakhrul Abdul Aziz, menebus kekecewaan peribadi menerusi kejayaannya bergelar raja pecut dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Panasonic, Shah Alam, hari ini.
Saingan tahun ini merupakan penyertaan kelima buat Fakhrul sejak dia mewakili Pulau Pinang pada 2014.
Pencapaian terbaiknya dalam acara pecut 100m sebelum ini adalah naib juara edisi tahun lalu setelah dia tumpas kepada atlet Melaka, Muhammad Aiediel Sa'adon.
Lantas, dia menyasarkan persembahan lebih baik tahun ini dan hasilnya dia bergelar juara saingan 18 tahun ke bawah menerusi catatan 10.62 saat dengan menewaskan pencabar dari Sabah, Muhammad Din Norbik, dan atlet Johor, Mohammad Haiqal Abdul Rahman.
"Saya tidak boleh katakan persembahan itu yang terbaik kerana saya baru baik daripada
demam dan saya juga tidak dapat melakukan catatan peribadi terbaik. Bagaimanapun, syukur
saya dapat meraih pingat emas," katanya.
Tumpuan seterusnya buat Fakhrul sudah pasti Sukan Malaysia (Sukma) Perak, September depan, di mana ia menjadi pembabitan sulungnya dalam temasya sukan itu.
Mengharapkan mampu mengatasi rekod peribadi 10.59s, atlet yang berasal dari Sungai Ara itu turut menyasarkan untuk tersenarai dalam skuad kebangsaan, terutama bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina.
"Daripada segi catatan masa, saya perlu berlatih lagi untuk meningkatkannya. Untuk SUKMA,
saya menyasarkan catatan peribadi yang baru.
"Sukan SEA pada tahun depan juga menjadi sasaran saya," ujarnya.
;