Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Menembak Trofi Ally Ong 2017: Dua emas tingkat keyakinan Eddy Chew

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

eddychew160417.jpg
Kejayaan meraih dua emas dalam Kejohanan Menembak Trofi Ally Ong 2017 menambah keyakinan buat Eddy Chew untuk memburu keputusan yang sama dalam Kejohanan Asia Tenggara, bulan hadapan.

Eddy menutup saingan Trofi Ally Ong hari ini dengan meraih emas acara 50 meter air pistol.

Dia sekali lagi mengecewakan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Johnathan Wong, apabila mencatat 230.1 mata untuk meraih emas, diikuti Choo Wen Yan di tempat ketiga.

Lebih manis, ia juga rekod kebangsaan baharu buat Eddy untuk final acara ini.

“Saya rasa persembahan saya hari ini amat baik. Saya dapat memberikan fokus dan mengekalkan markah saya, sama seperti dalam saingan kelayakan dan berjaya memecahkan rekod kebangsaan,” katanya.

“Dalam saingan kali ini juga, saya dapat beraksi tanpa berada dalam keadaan tertekan. Jurulatih juga memberitahu bahawa beliau tidak mahu melihat kepada keputusan, sebaliknya mahu menyaksikan kami selesa menghadapi kejohanan.”

Kemenangan ini menambah koleksi kejuaraan buat Eddy yang turut meraih emas acara 10 meter air pistol kelmarin.

Kejohanan Asia Tenggara (SEASA) menjadi cabaran berikutnya buat Eddy dan dia tidak sabar untuk berentap dengan penembak Vietnam, Hoang Xuan Vinh, yang mencipta kejutan memenangi emas di temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

“Ia akan menjadi cabaran seterusnya buat saya dan sebelum ini, saya pernah tewas kepada Xuan Vinh dua kali.

"Saya akan cuba memberikan yang lebih baik dalam kejohanan-kejohanan tahun ini. 2017 adalah tahun yang baik buat saya.”

Advertisement

Must Watch Video