Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Menembak Asia Tenggara: Ezuan raih kejayaan berganda

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

7517ezuannasir.jpg
Dua penembak negara, Ezuan Nasir Khan dan Hasli Izwan Amir Hasan, menjulang nama Malaysia selepas mengungguli acara masing-masing dalam Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-41 di Lapang Sasar Subang, hari ini.

Ezuan turun dalam acara kegemarannya, 50 meter rifle prone, dengan misi memburu kejayaan ketiga selepas memenangi Trofi Ally T H Ong, bulan lalu dan Trofi Tun Hanif pada Mac.

Dianggap persediaan terbaik untuk menghadapi Sukan SEA, 19-30 Ogos nanti, Ezuan mengumpul 247.3 mata untuk mengatasi tentangan penembak Vietnam, Nguyen van Quan, yang berada di tangga kedua.

Dua lagi penembak negara, Mohamad Lutfi Othman dan Mohd Hadafi Jaafar, masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat tetapi di atas semangat kesukanan, pingat gangsa diberikan kepada penembak Filipina, Jayson Valdez.

Ini merupakan kejayaan berganda buat Ezuan dalam kejohanan itu apabila turut meraih emas saingan berpasukan bersama Lutfi dan Hadafi.

"Alhamdulilah. Dalam kejohanan ini, persembahan saya meningkat. Saya tidak terlalu memikirkan tentang pesaing lain kerana jika saya membuat segalanya dengan cara yang betul, kemenangan itu akan datang dengan sendiri," katanya.

Dalam pada itu, masalah senjata pada pusingan kelayakan tidak menjejaskan cabaran Hasli dalam acara 25 meter rapid fire pistol.

Sebaliknya, ia menjadi medan kebangkitan buat penembak berpengalaman itu dalam final, yang turut menyaksikan pembabitan tiga peserta negara dan tiga lagi peserta Vietnam.

Hasli mencatat 23 mata untuk bergelar juara, mengatasi penembak Vietnam, Ha Minh Thanh, dengan perbezaan dua mata.

"Acara 25 meter hari ini berjalan dengan dramatik sedikit. Walaupun ada masalah dengan senjata ketika pusingan kelayakan, memasuki final saya cuba sehabis baik dan Alhamdulilah, berjaya meraih emas," kata Hasli.

Advertisement

Must Watch Video