Kejohanan Memanah Kebangsaan: Sabah bawa pulang tiga emas
Tengku Danish Bahri
Mac 9, 2020 14:25 MYT
Mac 9, 2020 14:25 MYT
Sabah mempamerkan aksi cemerlang dengan membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan Siri 1 di Terengganu semalam.
Pingat emas pertama Sabah di Lapang Sasar Teluk Ketapang itu diraih Wong Sen Li, Lee Kin Lip dan Haziq Din Amidin menerusi acara compound berpasukan lelaki.
Pingat emas acara recurve berpasukan campuran turut digenggam Sabah selepas Kaitlyn Hannah dan Muhd Syafiq Busthamin mengatasi pemanah tuan rumah.
Pingat emas ketiga menyusul dalam acara recurve individu lelaki menerusi Alif Anas Arifin manakala pingat perak milik Aimi Zhafran Mohamad (Kedah) dan Syafiq, gangsa.
Pencapaian itu mengatasi sasaran satu pingat emas dengan Sabah membariskan muka baru selain dibimbing pemanah berpengalaman, iaitu bekas atlet negara, Kin Lip.
"Melalui penglibatan pemanah senior, kami cuba merangka program bersesuaian untuk atlet muda dengan gabungan teknologi terkini dan sains sukan.
"Diharap Sabah dapat mengekalkan prestasi dalam Siri 2, 1 April ini, sebelum saya memilih skuad terbaik ke Sukan Malaysia (Sukma)," kata jurulatih, Charley Chia.
Kejohanan Siri 1 selama empat hari itu disertai 36 pasukan dengan kontinjen Institut Pengajian Tinggi (IPT) di kedudukan pertama mengutip empat pingat emas dan dua gangsa.
Sabah di tangga kedua manakala tuan rumah, Terengganu, terpaksa berpuas hati dengan pungutan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.