SUKAN LAIN
Kejohanan Kebangsaan: Wee Wern rangkul gelaran ketiga
Jaguh skuasy negara, Low Wee Wern, terpaksa menunggu sehingga bulan ini untuk mencipta kejuaraan pertama musim 2019 selepas menundukkan seorang lagi wakil negara, Rachel Arnold, dalam final Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Arena Nicol David, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Bekas pemain nombor lima dunia itu menjadi pilihan dalam perlawann akhir itu ekoran faktor pengalaman.
Kelebihan itu ternyata dimanfaatkan sepenuhnya oleh Wee Wern untuk menundukkan Rachel 11-6, 7-11, 11-9, 11-3.
Iklan
Rachel yang melakar kejutan apabila mengatasi juara bertahan, S. Sivasangari, dalam separuh akhir semalam, gagal mengulangi persembahannya apabila sekadar memenangi satu set dalam final.
Kelebihan beraksi di pentas antarabangsa serta pengalaman menjadi pemisah di antara kedua-dua pemain negara itu yang menyaksikan Wee Wern merangkul kejuaraan kebangsaan buat kali ketiga.
"Jika Rachel meraih kemenangan dalam set ketiga, ia akan melonjakkan tahap keyakinannya tetapi saya berusaha mencari jalan untuk memenangi perlawanan ini ketika beraksi di prestasi yang kurang memberangsangkan," kata Wee Wern.
Gembira di atas kejayaannya, Wee Wern bagaimanapun mengakui tidak berada di tahap terbaik selepas kembali aktif selepas setahun meninggalkan perlawanan kompetitif.
"Sukar untuk kembali berada di tahap terbaik selepas lama berehat ekoran kecederaaan yang dialami. Banyak lagi yang perlu saya usahakan dalam sesi latihan selepas ini."
Dalam saingan lelaki, Ivan Yuen unggul mengatasi Ng Eain Yow untuk merakamkan kejuaraan kebangsaan yang ketiga.
Ivan bermula baik dan berjaya mengawal gelanggang dengan baik dalam set pertama untuk menang 11-7.
Meletakkan sasaran untuk menjuarai Kejohanan Kebangsaan buat kali pertama, Eain Yow bangkit merampas set kedua 11-8.
Bagaimanapun, Ivan mempamerkan persembahan berkualiti untuk tidak memberikan jalan mudah buat Eain Yow bagi memastikan kemenangan 12-10 dalam set ketiga.
Kedua-dua pemain mengutip mata dalam set keempat, namun Ivan berjaya mencari ruang untuk mematahkan pergerakan Eain Yow, sekali gus merakamkan kemenangan 11-9 untuk muncul juara kebangsaan buat kali ketiga.
"Ini merupakan kali pertama saya berdepan Eain Yow di pentas final. Dia merupakan seorang pemain yang berpotensi untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar pada masa akan datang.
"Eain Yow menampilkan permainan yang agresif dan pantas, saya sangat gembira kerana berjaya bermula baik dan ia menjadi pemangkin untuk memenangi perlawanan ini," kata Ivan.
Must-Watch Video