SUKAN LAIN

Kejohanan IWWF: Aaliyah yakin ke final acara tricks

Bernama 15/08/2019 | 14:03 MYT
Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, yakin akan mara ke final acara tricks terbuka wanita esok selepas gagal ke final acara slalom dalam pusingan awal Kejohanan Ski Air Dunia IWWF hari ini.
Peluncur berusia 16 tahun itu, yang mengalami kecederaan telinga dua minggu lalu, sekadar menduduki tempat ke-22 selepas melepasi dua boya pada kelajuan 55 kilometer sejam dengan menggunakan tali sepanjang 12 meter dengan catatan 2.0/55/12.0.
Aaliyah hampir menyamai catatan terbaik peribadinya, iaitu 3/55/12 untuk ke final hujung minggu ini.
“Ketika panjang tali semakin singkat, saya agak tertekan. Saya rasa nak terjatuh pada jarak tali 14m tetapi rasa selesa pada 12m.
“Esok adalah acara kegemaran saya, iaitu tricks, dan saya cukup bersedia. Saya perlu melakukan lebih visual untuk tricks. Secara teknikal, saya perlu perlahan dan berdiri,” katanya di Pusat Sukan Air Putrajaya, hari ini.
Seorang lagi peluncur negara, Nur Nadiah Hanani Md Nasir, mengakhiri saingan slalom di tempat ke-39 dengan catatan 1.50/55/18.25.
Dalam acara jump, Aaliyah yang melakukan 37.2m kelmarin dan sekadar menduduki tempat ke-16 dengan baki lapan lagi peluncur terpaksa bersaing esok disebabkan hujan lebat hari ini.
Hanya 12 peserta daripada pusingan awal layak ke peringkat akhir Sabtu dan Ahad ini.
-- BERNAMA
;