SUKAN LAIN
Kejohanan Individu Asia: Wee Wern bangkit atasi wakil Jepun
Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, mara ke separuh akhir selepas mencipta kebangkitan mengatasi Satomi Watanabe dari Jepun dalam Kejohanan Skuasy Individu Asia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Wee Wern pada awalnya mencetus resah apabila ketinggalan dalam dua set awal kepada Satomi 5-11, 5-11.
Bagaimanapun, Wee Wern bangkit dalam set ketiga hasil kemenangan 11-1 dan berjaya menemui momentum apabila bangkit dengan kemenangan dua set seterusnya 11-8, 11-8 untuk mara ke separuh akhir.
Walaupun melalui tekanan dalam perlawanan yang pantas, dia lega kerana berjaya mengawal keadaan.
"Ia merupakan perlawanan yang pantas. Pujian harus diberikan kepada Satomi kerana memenangi kejohanan sebelum ini. Secara jujurnya, saya tidak berada di tahap terbaik tetapi berjaya bertahan untuk memenangi perlawanan ini," kata Wee Wern.
Sementara itu, bekas juara remaja dunia 2015, Ng Eain Yow, turut memenangi perlawanan empat set menentang Max Lee Ho Yin dari China 11-8, 8-11, 11-7, 11-7.
"Sangat gembira tetapi terus memberikan tumpuan dalam kejohanan ini. Max merupakan seorang pencabar yang hebat dan saya mahu mempamerkan aksi yang lebih baik selepas ini," kata Eain Yow.
Namun, pemain senior negara, Nafiizwan Adnan, terpaksa akur apabila tewas mudah dalam aksi straight set di tangan Saurav Ghosal dari India 11-4, 11-4, 11-3.
Dia sebelumnya menyatakan hasratnya dalam memenangi kejohanan terakhir sebelum persaraannya dalam dunia skuasy, namun tidak tercapai.
"Ini adalah kejohanan terakhir saya mewakili negara, saya akan bersara setakat ini sahaja perjalanan saya sebagai atlet.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri dan keluarga saya yang memberikan sokongan terhadap karier saya," kata Nafiizwan.
"Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Program Podium merupakan antara pendorong saya untuk beraksi cemerlang."