SUKAN LAIN
Kejohanan Individu Asia: Sivasangari mara ke separuh akhir
Pemain skuasy negara, S. Sivasangari, menundukkan lawannya, Joey Chan dari Hong Kong, untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019, hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu melayakkan diri ke separuh akhir menerusi kemenangan 11-7, 11-8, 15-17, 11-8.
Bagaimanapun, dia mengakui melalui laluan sukar sebelum kemenangan menghadapi lawannya, Joey, atas perbezaan mata yang tipis dalam pertarungan empat set itu.
Sivasangari berharap agar dia terus fokus bagi menambah kejayaan walaupun kurang terlibat dalam kejohanan skuasy tahun ini bagi aksi separuh akhir menentang Joshna Chinappa dari India, esok.
"Saya berasakan agak tergesa-gesa dalam perlawanan ini dan ia tidak berhasil kerana lawan saya memberikan tentangan yang sengit. Saya mengubah corak permainan dalam set kedua sebelum melakar kemenangan," katanya.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain kelahiran Pulau Pinang, Yuen Chee Wern, gagal melayakkan diri ke separuh akhir selepas melalui perlawanan yang sukar apabila tunduk 6-11, 11-7, 11-5, 11-7 kepada wakil China, Chun Ming.
"Dia mengenali cara saya bermain kerana kami telah lama bersaing di pentas antarabangsa. Segalanya ditentukan pada hari pertandingan dan segalanya tidak berhasil buat saya," kata Chee Wern.