Kejohanan Grand Prix IWF 2: Aniq perbaharui rekod kebangsaan di Qatar

Ammar Hakim
Disember 5, 2023 22:15 MYT
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan, memperbaharui rekod kebangsaan dalam saingan Kejohanan Grand Prix IWF 2 di Qatar, hari ini.
Beraksi dalam Kumpulan C dalam kategori 61 kilogram, Aniq melakukan angkatan 126kg bagi 'snatch' sebelum mengukuhkan kedudukannya apabila menyempurnakan angkatan 170kg untuk memperoleh 296kg secara keseluruhan.
Untuk rekod, ia merupakan rekod baharu bagi kategori 61kg, mengatasi rekod kebangsaan miliknya ketika memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi September lalu.
Rakan senegara, Aznil Bidin bagaimanapun menamatkan saingan dalam Kumpulan B di tempat keenam, susulan kegagalan melakukan angkatan dalam tiga percubaan 'snatch' sebelum memastikan satu angkatan 145kg 'clean & jerk'.
Saingan ini merupakan pentas untuk memperoleh kutipan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
#Malaysia #Angkat berat #Aznil Bidin #Aniq Kasdan
;