Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Gimrama Asia: Rayna bakal beraksi dalam Sukan Olimpik Remaja

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

gimnas.jpg
Gimnas meningkat naik negara, Rayna Hoh Khai Ling, berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Remaja (YOG) yang akan berlangsung di Buenos Aires, Argentina dari 6 hingga 18 Okt depan.

Berdasarkan keputusan kelayakan Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Ke-16 sempena Kejohanan Asia 2018 yang sedang berlangsung di Axiata Arena, gimnas berusia 15 tahun itu berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 53.550 mata.

Kedudukan itu sekali gus memberi slot automatik kepadanya untuk beraksi di Buenos Aires, menyaksikan tujuh  gimnas dari negara Asia akan terpilih ke Sukan Olimpik Remaja, dengan maksimum satu gimnas mewakili sebuah negara.

Untuk rekod, pencapaian terbaik gimnas Malaysia dalam YOG ialah ketika edisi  pertama di Singapura pada 2010 di mana Lee Wan Nin menamatkan saingan di tempat keempat acara individu keseluruhan.

Dalam temasya empat tahun sekali itu di Nanjing, China pada 2014, Malaysia diwakili Olivia Tai.

Selepas tamat sesi kelayakan, gimnas Uzbekistan, Ekatarina Felisova, muncul gimnas terbaik dengan mengumpul 57.150 mata dan diikuti Aino Yamada dari Jepun dengan 53.950 mata.

"Ia sesuatu yang benar-benar tidak dijangka dan bagi YOG, saya perlu berusaha lebih keras untuk mempamerkan aksi terbaik di sana.

“Beraksi dalam YOG seperti impian menjadi kenyataan. Sudah sekian lama saya mengimpikan untuk beraksi dalam YOG sejak berusia 10 tahun dan kini pada usia 15 tahun, saya berpeluang bersaing dalam temasya sukan itu,” kata Rayna ketika ditemui selepas menamatkan pusingan kelayakan hari ini.

Pada hari kedua pusingan kelayakan Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Ke-16 hari ini, Rayna memperoleh 13.500 mata dalam acara belantan manakala dalam acara reben, dia meraih 12.200 mata.

"Dalam saingan hari ini, saya sepatutnya boleh melakukan lebih baik dalam acara belantan, namun saya melakukan sedikit kesilapan. Saya benar-benar gementar tetapi berjaya mengatasi keadaan itu kemudian. Jurulatih juga menyuruh saya berlatih bersungguh-sungguh dalam acara belantan kerana kategori itu saya lemah,” kata Rayna.

Semalam, dia muncul gimnas terbaik acara gelung dengan mengumpul 14.500 mata dan dalam acara bola, dia mendapat 13.350 mata.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video