SUKAN LAIN

Kejohanan Dunia FINA: Yiwei-Mun Yee kempunan pingat

Penulis Jemputan 16/07/2019 | 14:43 MYT
Terjunan terakhir meranapkan impian pasangan penerjun negara, Chew Yiwei,-Leong Mun Yee, untuk merangkul sekurang-kurangnya pingat gangsa acara terjun berpasukan campuran dalam Kejohanan Dunia FINA di Gwangju, Korea Selatan, sebentar tadi.
Terdahulu, pasangan negara itu beraksi tekal dalam dua terjunan pertama untuk mendahului pasangan Amerika Syarikat (AS), Andrew Capo Bianco-Katrina Young.
Dengan darjah kesukaran 2.0, pasangan negara itu memulakan terjunan pertama dengan 87 mata untuk berada di kedudukan ketujuh sedangkan Bianco-Young sekadar berada di ranking ke-15.
Yiwei-Mun Yee semakin yakin dalam terjunan kedua apabila mencatat 139.50 mata untuk menjadikan mata keseluruhan 226.50 bagi menduduki ranking ketiga.
Bagaimanapun, juri nyata tidak memihak kepada pasangan negara itu apabila hanya memberikan keseluruhan 347.80 mata selepas terjunan ketiga.
Gandingan AS itu pula berkelebihan 9.8 mata untuk memintas kedudukan Yiwei-Mun Yee, sekali gus meraih pingat gangsa.
Emas milik pasangan China, Lin Shan-Yang Jian, manakala gandingan Russia, Sergey Nazin-Luliia Timoshinina, meraih perak.
;