SUKAN LAIN

Kejohanan Dunia: Azroy Hazalwafie terpaksa tarik diri

Penulis Jemputan 07/09/2019 | 11:18 MYT
Skuad angkat berat negara menerima tamparan menjelang Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand, bermula 18 September ini apabila juara Sukan Komanwel, Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar, menarik diri ekoran kecederaan lutut.
Azroy tiada pilihan selain terpaksa menarik diri demi menyelamatkan karier selepas doktor mengesahkan tendon lututnya bermasalah dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika dia beraksi di negara jiran itu, kurang dua minggu lagi.
Justeru, atlet kelahiran Pahang itu terpaksa melupakan misi membantu skuad negara mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Kecederaan ini dialami ketika di Vietnam tetapi apabila melibatkan bahagian lutut, ia memerlukan masa yang lama untuk pulih. Ia melibatkan tendon yang koyak dan bengkak, jadi semakin lambat untuk pulih," katanya.
Ketiadaan Azroy menyaksikan Malaysia akan diwakili empat atlet.
Peluang terbaik menaiki podium dilihat terarah kepada seorang lagi juara Komanwel, Aznil Bidin, selepas menjalani kem latihan pusat di Kuala Rompin, Pahang sejak Julai lalu.
"Saya rasa sedih kerana memiliki sasaran bersama Aznil dalam kejohanan ini. Saya memberitahu dia untuk menemaninya dalam Kejohanan Dunia bagi mengumpul mata. Namun, hanya dia seorang yang boleh ke sana dan saya cuma boleh berikan sokongan."
;