OLAHRAGA
Kejohanan Cahya Mata Sarawak Super Series: Rizzua Haizad optimis perbaiki catatan masa di trek baru Stadium Merdeka
Juara keseluruhan musim pertama Kejohanan Cahya Mata Sarawak Super Series bagi acara 110 meter berpagar, Rizzua Haizad, menyambut baik tentangan sengit yang diberikan daripada barisan pelari muda negara.
Antara atlet pelapis yang semakin menghampiri kelajuan Rizzua ketika ini adalah Hazriq Cik Mat Kilau yang baru pulih daripada kecederaan lutut Posterior Cruciate Ligament (PCL).
Rizzua mengambil pendekatan berbeza tahun ini apabila turun berlatih pada minggu pertama perayaan hari raya Aidilfitri, demi membuka langkah kanan pada siri pertama Super Series di Stadium Merdeka pada 3 dan 4 Mei depan.
Iklan
Misi serampang dua mata Rizzua turut terarah kepada melepasi had kelayakan catatan masa acara kegemarannya itu di Sukan SEA Thailand, penghujung tahun ini.
Malah, turut meraih perhatian Rizzua, kondisi trek balapan di Stadium Merdeka yang dikategorikan sebagai trek terbaik di Malaysia ketika ini.
"Jika badan segar dan sihat serta keadaan fizikal dalam keadaan baik InsyaAllah boleh. Memang saya mahu memperbaiki rekod 'Personal Best' (PB) untuk kejohanan pertama ini.
"Jika diikutkan catatan masa pada 2023 memang sudah layak kerana kelayakan hanya 13.85s ke 13.86s dan saya punya 13.85s. Tetapi negara mahukan catatan masa yang terbaru, saya InsyaAllah akan layakkan diri ke Sukan SEA.
"Saya tidak pernah berlari dalam Stadium Merdeka, saya teruja. Ikut perkembangan trek juga baru, semua atlet boleh perbaiki rekod mereka di situ." katanya.
Must-Watch Video