Kejohanan Boling Tenpin Kebangsaan: Harapan Muaz rebut gelaran juara terkubur
Ammar Hakim
Februari 11, 2022 19:52 MYT
Februari 11, 2022 19:52 MYT
Pemain boling tenpin negara, Ahmad Muaz Fishol, terpaksa menanam hasrat merebut gelaran dalam Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung 1 hingga 12 Mac di Sunway Megalanes.
Ini susulan dia mengalami kecederaan triangular fibrocatilage complex (TFCC) di bahagian pergelangan tangan dalam sesi latihan 3 Januari lalu dan terpaksa berehat selama enam minggu.
Muaz meraih naib juara di belakang rakan senegaranya, Tun Hakim Tun Hasnul Azam edisi lalu pada 2019, namun terpaksa menahan diri dan fokus untuk bersaing dalam Sukan SEA Vietnam tahun ini.
"Saya tidak pernah bergelar juara dan itu merupakan sasaran saya namun selepas mengalami kecederaan, saya agak kecewa namun jika memikirkan tentang masa depan, amat penting buat saya berehat terlebih dahulu selama enam minggu supaya tidak memerlukan pembedahan pada masa akan datang," katanya.
"Buat masa ini, saya mahu pulih bagi memastikan tempat bersaing dalam Kejohanan Asia dan Sukan SEA."