Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan B15 pentas cungkil bakat baru
Ammar Hakim
Ogos 15, 2023 19:42 MYT
Ogos 15, 2023 19:42 MYT
Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan B15 kali ke-30 merebut Piala Lum Mun Chak kembali akan diadakan 25 Ogos hingga 2 September ini di Batu Pahat, Johor.
Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Sim Sin Heng, berharap kejohanan kali ini bakal mengcungkil lebih ramai bakat baru.
"Objektif kejohanan adalah sama seperti tahun terdahulu, kami menjangkakan perlawanan yang hebat daripada semua pasukan yang beraksi," kata Sin Heng.
"Selangor dan Johor dijangka akan mendominasi saingan namun harapan saya adalah kejohanan akan menjadi lebih terbuka dan negeri lain turut menurunkan pemain-pemain berkualiti."
Sejumlah 17 pasukan akan berentap bagi kategori lelaki menampilkan pasukan terbaru dari Putrajaya dan 15 pasukan berentap dalam kategori wanita.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Keranjang Selangor, Sunny San, memberikan amaran Selangor bakal tampil lebih kuat untuk mempertahankan kejuaraan dalam kedua-dua kategori.
"Sebanyak 200 perlawanan yang telah dijalankan sebelum ini bagi memastikan barisan skuad Selangor yang terbaik bagi kejohanan kali ini," kata Sunny.