BOLA JARING
Kejohanan Bola Jaring Asia: Sri Lanka beri Malaysia kekalahan pertama



Skuad bola jaring negara berdepan kekalahan pertama dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 selepas tewas 53-55 kepada Sri Lanka dalam aksi pembukaan pusingan kedua di Arena OCBC Singapura sebentar tadi.
Menurunkan skuad terbaik yang diketuai An-Najwa Azizan dan Khairunissa Nazri di bahagia serangan, Malaysia bermula baik apabila mendahului 15-13 pada penghujung suku pertama.
Bagaimanapun, kesukaran untuk mengekang 'goal shooter' tinggi lampai lawan menyaksikan skuad negara membenarkan Sri Lanka untuk menyamakan kedudukan 30-30 menjelang separuh masa.
Aksi lebih sukar dilalui pasukan bimbingan Lisa Beehag itu dalam suku ketiga untuk Sri Lanka lebih unggul menamatkan tempoh berkenaan dengan di depan 45-38.
Usaha skuad negara untuk bangkit dalam suku terakhir, bagaimanapun, tidak berjaya dan terpaksa akur menelan kekalahan tipis berkenaan.
Malaysia seterusnya akan menghadapi Hong Kong dalam aksi kedua pusingan 'round-robin' itu di venue sama esok.
Sebagai rekod, dua pasukan terbaik dalam kejohanan itu akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 di Cape Town, Afrika Selatan.