Skuad bola jaring negara menamatkan pusingan awal Kejohanan Bola Jaring Asia selaku juara Kumpulan C selepas menewaskan Taiwan 82-25 di Arena OCBC Singapura hari ini.

Selepas membelasah Brunei 78-22 dalam aksi pertama, pasukan bimbingan Lisa Beehag itu mempamerkan aksi lebih kukuh dalam perlawanan kali ini untuk layak ke pusingan kedua dengan penuh bergaya.

Membariskan Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli dan Khairunissa Nazri di bahagian serangan, Malaysia menamatkan suku pertama dengan kelebihan 22-8 sebelum melebarkan kelebihan itu kepada 37-16 menjelang separuh masa.

Dominasi itu dikekalkan dalam suku ketiga untuk Malaysia selesa mendahului 56-21 sebelum hanya membenarkan lawan meraih empat mata dalam suku terakhir.

Dengan kemenangan itu, skuad negara melangkah ke pusingan kedua dan akan bersaing secara 'round-robin' dalam saingan Kumpulan E bersama tiga juara kumpulan lain bermula dengan aksi menentang Sri Lanka esok.

Sebagai rekod, dua pasukan terbaik dalam kejohanan itu akan mendapat slot secara merit ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 di Cape Town, Afrika Selatan.