SUKAN LAIN

Kejohanan BMX Asia: Yoshimura, Tanno muncul juara

Bernama 13/04/2019 | 09:40 MYT
Kecederaan bahu yang dialami pelumba Jepun, Jukia Yoshimura, tidak menghalangnya untuk merangkul gelaran juara Kejohanan BMX Asia 2019 di Nilai, sebentar tadi.
Ini merupakan gelaran juara Asia ketiga yang diraihnya selepas tahun 2016 dan 2017 dan pelumba berumur 26 tahun itu meluahkan kegembiraannya dengan kejayaan itu sekali lagi di Malaysia walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya Januari lalu.
“Saya mengalami kecederaan bahu sebelum menyertai kejohanan ini dan masih belum pulih 100 peratus tapi saya sangat gembira dapat beraksi dengan baik hari ini dan berjaya merangkul gelaran juara.
“Selepas kemalangan Januari lalu, saya cuma ada tiga bulan untuk pulih bagi acara ini,” kata Yoshimura.
Dalam keadaan cuaca panas dan kering hari ini, Yoshimura mempamerkan aksi mantap untuk meraih pingat emas dalam masa 30.293 saat manakala pelumba Indonesia, Gusti Bagus Saputra, memperoleh pingat perak dengan catatan masa 30.895s.
Juara 2018, Rio Akbar dari Indonesia, memperoleh pingat gangsa dengan catatan masa 31.614s manakala pelumba BMX negara, Ahmad Syazrin Awang Ilah, gagal ke pusingan akhir selepas menamatkan perumbaan peringkat separuh akhir di tempat kelima dengan catatan masa 32.298s.
Sementara itu, Rio berpuas hati dengan keputusan hari ini walaupun gagal mengulangi kejayaan merangkul gelaran juara.
"Tahun lepas, saya juara Asia dan tahun ini saya di tempat ketiga tapi saya tetap bersyukur atas kejayaan hari ini. Yang penting adalah saya dapat masuk final dan mendapat mata untuk mendapatkan kelayakan ke Sukan Olimpik di Tokyo nanti," katanya.
Dalam kategori wanita elit, Kanami Tanno juga dari Jepun meraih gelaran juara dengan catatan masa 33.180s, di hadapan dua pelumba dari China, Yan Lu, yang memperoleh pingat perak dengan catatan masa 33.287s dan Na Peng dengan catatan 34.337s.
Sejumlah 353 pelumba, termasuk 145 dari lain-lain negara seperti Jepun, China, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, mengambil bahagian dalam pelbagai acara dalam kejohanan dua hari yang berlangsung di trek BMX Nilai itu.
-- BERNAMA
;