SUKAN LAIN

Kejohanan BMX Asia: Syazrin mahu bukti kemampuan

Penulis Jemputan 10/04/2019 | 12:27 MYT
Pelumba berbasikal BMX negara, Ahmad Syazrin Awang Ilah, bertekad untuk menjadi pesaing sengit buat peserta Jepun yang dijangka akan mengungguli Kejohanan BMX Asia di Nilai, Sabtu ini.
Keputusan hambar yang diraih dalam edisi tahun lalu membangkitkan semangat baru buat Syazrin, yang meletakkan sasaran lebih tinggi dalam kejohanan di Arena BMX Nilai itu.
Kejayaannya mengungguli Kejohanan Kebangsaan pada 2017 melonjakkan keyakinan pelumba berusia 22 tahun itu untuk menjadi pencabar dalam kategori lelaki elit.
Syazrin mahu membuktikan kecemerlangannya sebagai misi memburu slot ke Sukan SEA Filipina, November depan.
"Saya sudah bersedia untuk memberikan saingan terhadap atlet Jepun, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
"Saya sudah memiliki strategi ampuh untuk perlumbaan ini," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Saniy Syahmi Mohd Safiee, menyasarkan pingat dalam kejohanan itu dengan memanfaatkan aksi di laman sendiri.
"Saya sudah melakukan persediaan selama beberapa bulan.
"Sasaran saya adalah untuk mendapatkan pingat memandangkan Malaysia adalah tuan rumah," katanya.
;