SUKAN LAIN
Kejohanan BMX Asia: Kurang pengalaman punca Eddyna terlepas podium
Cetek pengalaman menjadi punca pelumba negara, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin, terlepas peluang meraih pingat dalam Kejohanan BMX Asia, sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan gagal mencapai sasaran ditetapkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Eddyna terlepas peluang menjadi wira skuad negara, dengan pelumba berusia 17 tahun itu merupakan wakil tunggal Malaysia layak ke final selepas harapan utama, Shahirah Abd Halim, terpaksa menarik diri ekoran masalah kesihatan.
Dia bermula baik, namun gagal menggunakan peluang di sebalik insiden kemalangan pada selekoh terakhir untuk menamatkan cabaran di tangga kelima dengan catatan 41.454 saat.
Emas milik pelumba Jepun sementara China meraih perak dan gangsa.
"Tekanan yang tinggi buat saya kerana satu-satunya wakil ke final tetapi ia merupakan satu pengalaman berguna buat saya kerana dapat bersaing dengan barisan terbaik Asia," kata Eddyna.
"Kecewa kerana Shahirah tidak dapat beraksi dalam perlumbaan akhir disebabkan mengalami masalah kesihatan," kata jurulatih negara, Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti.