SUKAN LAIN
Kejohanan AKF: Shafeeq sudah bersedia, dia juga mampu cipta kejutan
Ketua jurulatih skuad karate negara, Tamer Abdelraouf, tidak menunjukkan sebarang kebimbnagan terhadap anak buahnya, Muhammad Shafeeq Shardee, yang bakal membuat penampilan sulungnya di pentas Kejohanan Asia (AKF) di Melaka Jumaat ini.
Selepas penarikan diri tonggak utama, R. Sharmendran berpunca kecederaan lutut kiri, Shafeeq tampil sebagai penggantinya di pentas kelayakan ke Sukan Asia itu.
Walaupun bakal membuat penampilan sulung, Tamer memuji bahawa Shafeeq tidak pernah kelihatan gementar, sebaliknya lebih bersemangat diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab beraksi di laman sendiri.
"Ini merupakan kali pertama Syafeeq beraksi di AKF dan dia sangat bermotivasi tinggi," kata Tamer.
"Dalam sesi latihan, dia telah melakukan yang terbaik dalam kejohanan kali ini."
Turut dikongsi Tamer bahawa sorang lagi harapan negara, Prem Kumar turut mengalami sedikit kecederaan pada bahagian pangkal paha.
Difahamkan bahawa kecederaan tersebut tidaklah serius tetapi jika ia akan memberikan impak pada prestasinya di Sukan Asia, Tamer tidak akan teragak-agak untuk membatalkan penyertaannya dan keputusan daripada pihak perubatan akan diketahui esok.