Kehadiran cahaya mata pertama suntik semangat baru Rafiq Ismail

Muzaffar Musa
Disember 24, 2023 18:54 MYT
Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, berkata kehadiran cahaya mata pertamanya pada Rabu lalu menyuntik semangat baru buatnya untuk terus menempa nama di pentas antarabangsa.
Mengakui masih kekok dan tidak sangka akan menjadi bapa pada usia 26 tahun, kehadiran anak lelaki yang diberikan nama Muhammad Yusuf itu memberikan satu dimensi baru untuk dia menghadapi cabaran yang bakal mendatang tahun depan.
"Alhamdulillah rezeki kami berdua , saya dan isteri dapat anak lelaki pertama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Perasaannya memang saya tidak dapat nak gambarkan, memang saya amat bersyukur.
"Pada mulanya, saya nak pegang (anak) memang rasa kekok dan takut kerana tahu betapa rentannya bayi yang baru lahir.
"Saya dan isteri seakan-akan tidak percaya kami sudah ada anak, jadi ia satu momen yang kami amat teruja dan tidak sabar untuk menjalani proses membesarkan bayi pertama kami," katanya.
#Rafiq Ismail #boling tenpin
;