BERBASIKAL

Kegemilangan berbasikal Kuala Lumpur agenda utama Razlan Razali

Shaiful Shamsudin 25/02/2024 | 11:52 MYT
Daripada sukan permotoran ke berbasikal bukanlah perubahan drastik buat Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Datuk Razlan Razali, yang dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini.
Dengan situasi yang benar-benar berbeza jika dibandingkan dengan 30 tahun lalu, Razlan bertekad mengembalikan gemilang sukan berbasikal di Ibu Kota dalam tempoh setahun dari sekarang.
Razlan tidak teragak-agak untuk mencanang kemampuannya mencari dana yang lebih baik buat KLCA selain tumpuan kedua mencungkil semula bakat bakat baru untuk diketengahkan memandangkan ketika ini badan induk itu hanya memiliki sekitar enam orang atlet sahaja.
Pelantikan Razlan adalah hingga ke tahun 2026 dan dia bertegas tidak berminat untuk melangkah lebih jauh hingga ke peringkat nasional.
"Saya akan menggunakan pengalaman saya dalam sukan motosikal. Ia akan menjadi satu cabaran tetapi kami berpangkalan di Kuala Lumpur jadi banyak syarikat tertumpu di sini.
"Kami kena ambil kesempatan dalam 'Hari Bebas Kereta' untuk meluaskan lagi maklumat.
Ia salah satu daripada kepakaran yang saya miliki bagi meningkatkan kesedaran terhadap komuniti ini dan paling penting, membentuk bakat muda," katanya di Nadi Weekend.
"Saya tidak mahu dikaitkan dan tidak mahu tahu dengan politik Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia kerana kami di tahap yang perlu mengembalikan kegemilangan seperti tahun 80-an dan 90-an," katanya.
#Berbasikal #KLCA
;