HOKI
Kecederaan lutut tidak pudarkan semangat Hairi
Penjaga gol hoki skuad negara, Mohd Hairi Abd Rahman, belum berputus asa untuk menghadapi aksi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan, meskipun perlu berehat panjang ekoran pembedahan lutut.
Pemain tengah, Mohd Haziq Shamsul, dan penyerang, Firhan Ashaari, turut ditimpa nasib sama.
Hairi menjalani pembedahan di bahagian miniscus selepas tercedera dalam sesi latihan skuad kebangsaan.
Iklan
Dia dijangka perlu berehat untuk sekurang-kurangnya dua bulan dan berdepan risiko terlepas pertemuan play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Namun, penjaga gol berusia 29 tahun berkenaan belum berputus asa untuk menghadapi misi hidup mati itu.
"Sudah pasti saya akan terus bersemangat dan tidak akan berputus asa.
"Bagi saya, ini adalah satu proses untuk saya menjadi pemain yang lebih bagus.
"Di sebalik kecederaan ini, ia tidak akan menghalang saya untuk terus berjuang buat skuad negara," katanya.
Sementara itu, Haziq dijangka menjalani pembedahan lutut, esok.
Dia sudah enam bulan tidak beraksi di peringkat antarabangsa dan tahap kecederaannya semakin serius selepas mengikuti latihan minggu lalu.
"Bukannya saya minta untuk tercedera.
"Buat rakan sepasukan lain yang tercedera, saya mendoakan mereka supaya cepat sembuh dan saya pula akan menjalani pembedahan pada Hari Raya Aidilfitri kelima," kata Haziq.
Penjaga gol utama, S Kumar, yang hampir pulih menawarkan berita baik buat skuad kebangsaan sementara pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, akan dipanggil semula untuk menyertai kem latihan kebangsaan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Must-Watch Video