SUKAN LAIN
Kecederaan Khairul Anuar buat skuad memanah resah
Pemanah negara, Haziq Kamaruddin, menggalas tugas berat menjelang Piala Dunia kedua di Antalya, Turki, selepas kapten pasukan, Khairul Anuar Mohamad, masih bergelut dengan kecederaan bahu yang menghalangnya daripada menjalani latihan penuh.
Hanya skuad recurve lelaki akan mengibarkan cabaran Malaysia di Antalya, bermula 6 Jun nanti.
Mereka terdiri daripada Haziq, Khairul Anuar, Muhammad Akmal Nur Hasrin dan Mohamad Ikram Joni.
Iklan
Malangnya, Khairul Anuar masih belum pulih daripada kecederaan bahu berpanjangan yang menyaksikan dia hanya dapat menyertai sesi latihan sebelah pagi sebelum menjalani rawatan pada waktu petang.
Situasi itu berlarutan sejak Januari lalu dan secara tidak langsung menambah tugas Haziq sebagai pemanah senior.
"Ia memberi kesan kepada saya lantaran keadaannya yang tidak berapa cergas dan hanya mengikuti latihan sebelah pagi sahaja.
"Saya juga sibuk dengan tanggungjawab sebagai pelajar.
"Kami akan terus meniupkan semangat kepada Khairul kerana dia agak tertekan dengan masalah kecederaan itu.
"Komunikasi antara kami sedikit-sebanyak akan membantu," ujar Haziq.
Prestasi skuad recurve lelaki negara tidak begitu menyerlah pada tahun ini.
Mereka terkandas seawal pusingan pertama Piala Dunia di Shanghai, China, dua minggu lalu.
Skuad kendalian Lee Jae-hyung itu perlu berhati-hati kerana Indonesia dan Vietnam semakin garang di pentas antarabangsa dan mampu menjadi ancaman utama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dari 19 hingga 30 Ogos depan.
Must-Watch Video