SUKAN LAIN

Kecederaan bukan penghalang Fadhil buru kejayaan di Jakarta

Penulis Jemputan 04/01/2019 | 09:25 MYT
Kecederaan ekoran kemalangan di Velodrom Nasional, Nilai tidak menghalang pelumba trek negara, Mohd Fadhil Zonis, untuk memburu pingat emas acara pecut berpasukan dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2019 apabila tetap akan dibawa ke Jakarta, Indonesia, esok.
Fadhil tetap akan mencabar ACC 2019 meskipun terbabit kemalangan ketika berlatih.
Dia akan membentuk gandingan pecut berpasukan bersama Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan harapan untuk meraih emas.
Pelumba kelahiran Selangor tersebut akan turut beraksi dalam 1km ujian masa, namun memiliki peluang yang lebih baik untuk melakar emas dalam acara pecut berpasukan.
"Saya bersyukur kerana dapat beraksi dan tiada sebarang persiapan yang terjejas. Kejohanan yang bakal disertai akan membantu saya mengumpul mata layak ke Sukan Olimpik," katanya.
Trio negara meraih perak dalam Sukan Asia Indonesia pada Ogos tahun lalu selepas tewas kepada China dalam final.
Mereka turut memegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 43.934s untuk diletakkan antara pilihan merangkul emas dalam ACC 2019.
;