SUKAN LAIN
KBS sedia beri peluang kedua buat Irfan
Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, meminta tempoh setahun jika mahu menilai keberkesanan latihannya di luar negara selepas gagal meraih keputusan cemerlang dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATP) di Qatar, bulan lalu.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sedia memberi peluang kepada Irfan walaupun latihan di Republik Czech gagal memberikan pulangan yang memuaskan.
Ia susulan kegagalan Irfan meraih pingat Kejohanan Asia di sebalik Majlis Sukan Negara (MSN) membelanjakan puluhan ribu ringgit terhadapnya.
"MSN sedang meneliti permintaannya untuk berlatih di luar negara selama setahun.
"Kami berharap Irfan dapat berlatih sebaik mungkin dan kami akan pastikan dia akan dapat menghasilkan prestasi terbaik," kata Syed Saddiq.
Sementara itu, KBS akan membuat keputusan mengenai hala tuju karier jaguh karate-do negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, yang gagal mengatasi isu berat badannya.
Syakilla didakwa berdepan masalah komitmen untuk menjalani program menurunkan berat badan di Institut Sukan Negara (ISN).
Situasi itu, ia menyebabkan ranking atlet berusia 27 tahun itu jatuh ke tangga ke-83 dunia untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus dinasihatkan agar beralih ke kategori baru.
"Kami perlu mendapatkan pandangan semua pihak terlebih dahulu.
"ISN, MSN serta Persatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan duduk berbincang dan akan bersama-sama mencari jalan penyelasaian," tambahnya.