Skip to main content

Sukan Lain

KBS restu hasrat Azizulhasni bergelar pelumba profesional

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hannah-yeoh.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini menyokong hasrat legenda berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelumba trek profesional dalam sirkit perlumbaan yang dianjurkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata hasrat itu disampaikan Azizulhasni dalam pertemuan dengannya sebelum ini dan Kementerian sedia memberikan segala bantuan yang diperlukan untuk menjayakannya.

"Datuk Azizulhasni akan terus mengikuti program latihan sebagai seorang atlet profesional. Beliau juga akan menyertai perlumbaan-perlumbaan yang diiktiraf UCI mewakili ‘continental track team’, Team Azizul, yang berdaftar dengan UCI.

"Dengan keputusan beliau untuk meneruskan latihan dan bertanding, Datuk Azizulhasni akan berusaha mempersiapkan dirinya bagi mengejar matlamat dalam temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

"Keputusan itu dibuat Datuk Azizulhasni kerana beliau mahu Kementerian, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan agensi utama lain seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) memberikan tumpuan kepada pembangunan pelumba-pelumba lain seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Ridhwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Farid,” kata Hannah.

Ia bermakna Azizulhasni akan menguruskan sendiri program latihannya dengan pemantuan daripada Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley, dan akan menentukan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan yang dirasakan sesuai bagi mengekalkan tahap prestasinya.

Azizulhasni juga memutuskan tidak akan menyertai Temasya Sukan SEA 2025 untuk memberi laluan kepada pelumba muda manakala penyertaan dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia tahun ini dan tahun hadapan akan bergantung kepada penilaian prestasi oleh Beasley.

"Datuk Azizulhasni juga menyatakan bahawa beliau tidak mengharapkan apa-apa bantuan daripada Kementerian, namun mengambil kira jasa besar yang telah beliau curahkan untuk negara, KBS bersetuju untuk memberikan bantuan dalam bentuk keperluan tambahan untuk menyokong program latihan beliau untuk tahun ini dan tahun hadapan,” kata Hannah lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video