KBS Rally Sprint: Eastcoast Rallying tekad pertahan kejuaraan

Saufi Tahir
Oktober 25, 2024 11:45 MYT
Setelah terkandas pada musim lalu dan kembali bangkit membuat kejutan selaku juara kategori P10 KBS Rally Sprint pusingan pertama pada Februari lalu, Eastcoast Rallying tekad untuk menutup tirai musim ini dengan mempertahankan kejuaraan yang dijadualkan bermula pada 26 Oktober sehingga 27 Oktober 2024 ini bertempat di KL Base, Sungai Besi.
Pasukan rali yang berpangkalan dari Kuala Terengganu dipacu oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama pemandu arah pasukan Amir Izham masih kekal mempertaruhkan jentera Honda Jazz GE walaupun menyedari jentera-jentera pasukan lawan mempunyai reputasi yang lebih baik di litar lumba.
"Tekanan sememangnya dirasai selaku penyandang juara bagi kategori P10 namun kami tekad untuk menutup tirai musim ini dengan keputusan yang lebih baik berbanding musim lalu di tempat ke-7.
"Pencabar terdekat kami sudah dari pasukan Magnax Racing Team yang dipandu oleh Kang Chin Wan dan Brandon Choong Y-Leong di mana ketika itu hanya berjurang 14 saat untuk kami merangkul juara namun ianya bukan satu zon selesa untuk kami tidak bekerja keras nanti.
"Pada siri kedua perlumbaan ini, kami masih menaruh kepercayaan pada jentera Honda Jazz GE yang ditala sepenuhnya oleh R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal kami sejak pertama kali kami menyertai perlumbaan ini pada tahun lepas." ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang telah berkecimpung dalam perlumbaan rali sejak 2012 selaku pemandu arah ketika itu.
Manakala buat pemandu arah Eastcoast Rallying Amir Izham turut memberi pandangan positif bagi litar baru yang disediakan oleh penganjur.
"Ini adalah lokasi kedua untuk kami berlumba di mana pada tahun lepas dan awal musim tahun ini kami telah berlumba di MAEPS, Serdang dan kini kami akan mengutip pengalaman baru di KL Base, Sungai Besi yang sudah pasti memberi pengalaman baru buat setiap pasukan rali nanti.
"Cabaran teknikal masih menjadi taruhan utama oleh penganjur namun saya yakin mampu untuk diterjemahkan kepada pemandu pasukan. Keserasian di antara kami sejak hari pertama penubuhan pasukan menjadi kelebihan buat kami untuk saling memahami."
"Masih terlalu awal untuk saya menilai tahap kesukaran litar KL Base ini jadi saya mengharapkan cuaca yang lebih baik untuk memihak kepada Eastcost Rallying." berkata Amir Izham yang telah memulakan karier sukan permotoran jentera lasak sejak 2008.
Untuk rekod pusingan pertama KBS Rally Sprint 2024 yang telah berlangsung pada Februari lalu bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang(MAEPS), Serdang, Eastcoast Rallying membuat kejutan setelah menaiki podium di tempat pertama bagi kategori P10 dan di tempat ketiga bagi kategori keseluruhan pacuan dua roda(2WD) sekaligus meraih podium berganda pada awal musim ini.
Penganjuran KBS Rally Sprint yang kini memasuki musim ke-3 perlumbaan jentera rali ini diiktiraf oleh badan induk sukan permotoran Motorsports Association of Malaysia (MAM) dan mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia(KBS) selaku pemegang taruh sekaligus mewarnai kalendar sukan permotoran tanah air.
#Amir Izham #Eastcoast Rallying #Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki #KBS Rally Sprint
;