Skip to main content

Advertisement

Sukan

KBS peruntuk RM1 juta bagi pembangunan sukan badan beruniform

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kbs.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkasakan pembangunan sukan negara dengan peruntukan berjumlah RM1 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi mengenalpasti dan memupuk bakat atlet-atlet di kalangan anggota badan beruniform negara.

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh, memperakui komitmen itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Badan Beruniform yang dihadiri pegawai-pegawai tertinggi dan pegawaipegawai kanan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hannah berkata badan beruniform telah memainkan peranan sejak sekian lama sebagai pembekal atlet yang berjaya memenangi pingat untuk Kontinjen Malaysia dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa. Antara sukan yang ditunjangi badan beruniform adalah seperti memanah dan menembak yang menyaksikan pembabitan ramai atlet bertaraf dunia daripada ATM dan PDRM.

Atlet-atlet daripada ATM, PDRM, JPBM dan JPM juga aktif dalam beberapa sukan lain di peringkat kebangsaan seperti lawn bowl, sepaktakraw, berbasikal, hoki serta sukan tinju.

Antara kejayaan cemerlang yang telah dicapai atlet-atlet daripada badan beruniform adalah seperti berikut: 

- Saritha Cham Nong (ATM) – Pingat emas acara berpasukan compound wanita di Kejohanan Memanah Piala Asia, Singapura.

- Erma Firyana Saroji (PDRM) – Pingat emas Sukan Komanwel 2018 dan gangsa Kejohanan Dunia Lawn Bowls Indoor 2025, Scotland.

- Mohd Shaharil Aiman Halim (PDRM) & Mohd Afifudin Mohd Razali (ATM) – Pingat perak acara regu berpasukan di Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur.

- Mohd Affifudin juga menang pingat emas acara quadrant di Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025.

Dalam masa yang sama, KBS menyokong tumpuan Jabatan Penjara Malaysia kepada sukan Petanque dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam sukan Pingpong.

Ia bagi menepati matlamat memperluaskan usaha pembangunan bakat yang melibatkan anggota beruniform sebagai barisan pelapis dan bakal menjadi penyumbang utama kepada kejayaan sukan negara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, mesyuarat membincangkan beberapa cadangan baharu yang akan terus diperhalusi seperti berikut:

i. pertimbangan sukan baharu iaitu akuatik - open water, pingpong dan sukan mendaki membabitkan badan beruniform;
ii. kajian penyertaan semula kontinjen badan beruniform dalam Sukan Malaysia (SUKMA)
iii. cadangan pelantikan atlet paralimpik ke dalam pentadbiran badan beruniform selaras dengan dasar satu peratus (1%) penjawatan OKU di dalam perkhidmatan awam.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video