Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan permohonan peruntukan lebih RM10 juta kepada Kementerian Kewangan bagi tujuan pemerkasaan pembangunan atlet para negara di bawah Program Podium.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, peruntukkan itu diperlukan dengan mengambil kira kepentingan menambah lebih banyak program pendedahan kepada atlet para.

"Atlet para meluahkan bahawa mereka berasa gemuruh apabila (bertanding) di pelantar (setinggi Sukan Olimpik). Ini bermakna mereka memerlukan lebih banyak lagi pendedahan dan ini bermaksud bajet lagi lebih besar.

"Semalam saya dan kepimpinan tertinggi KBS telah hadir di Kementerian Kewangan untuk minta bajet lebih besar tahun depan, khas untuk atlet para.

"Kami ada Datuk V. Subramaniam , wakil Majlis Olimpik Malaysia, yang bekerja rapat dalam jawatankuasa MSN (Majlis Sukan Negara) dan kami akan terus utamakan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Tambahnya, jumlah berkenaan bukanlah tidak mencukupi, namun memerlukan penambahan dalam usaha memperkasaan..

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM40j buat keseluruhan Program Podium sementara RM10j disalurkan buat kem para.

Hannah turut meminta Jabatan Belia dan Sukan Negeri adakan lebih banyak program pencarian bakat atlet para di seluruh negara bermula tahun depan.