Kayuhan Nur Aisyah semakin digeruni

King Hisyam
Jun 19, 2024 13:17 MYT
Persiapan jaguh berbasikal lebuh raya negara Nur Aisyah Mohamad Zubir untuk berentap di Sukan Olimpik Paris nampaknya berada di landasan yang tepat dan semakin menampakkan tanda-tanda positif selepas
beliau cemerlang menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada salah satu acara yang berlangsung di Belgium semalam.
Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, pelumba berusia 27 tahun itu berkongsi rasa syukurnya atas kejayaan yang diperolehinya bersama pengikutnya di laman sosial tersebut.
Selepas menempatkan nama selaku atlit negara yang bakal menggalas tugas pada temasya terbesar di dunia itu nanti, Aisyah kini berada di eropah dalam misi memanaskan badan sebelum secara rasminya membawa nama negara ke Paris Julai ini.
Aisyah turut dijadual menyertai kira-kira 20 kejohanan pemanas badan di sekitar Eropah iaitu sama ada di Belgium dan Belanda.
Pada November tahun lalu, Nur Aisyah menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama negara beraksi di Olimpik apabila PKBM diberikan slot kelayakan ke Paris 2024.
Pelumba berusia 27 tahun itu dipilih mengisi slot berkenaan dalam satu mesyuarat khas pemilihan yang dibuat berdasarkan ranking dan prestasinya yang konsisten.
Nur Aisyah yang berasal dari Terengganu berjaya meraih dua pingat perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan (lebuh raya) dan satu gangsa dalam acara kriterium di Sukan SEA Vietnam 2021.
Dia juga berjaya meraih dua gangsa dalam acaara lepas beramai-ramai dan kriterium pada edisi seterusnya di Sukan SEA Kemboja, tahun lalu.
Malah di Sukan Asia Hangzhou juga, Nur Aisyah menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dalam acara lepas beramai-ramai.
#Berbasikal #Sukan Olimpik Paris #Nur Aisyah Mohamad Zubir
;