SUKAN LAIN

Kata-kata semangat jurulatih jadi azimat Bonnie

Penulis Jemputan 23/07/2019 | 05:24 MYT
Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, mengakui semangat yang ditiupkan jurulatih, Jamil Adam, menjadi kekuatan buatnya bergelar juara dunia dan juara remaja dunia di Kazakhstan, minggu lalu.
Atlet berasal dari Sarawak itu membuktikan kecemerlangannya apabila merangkul pingat emas dalam Kejohanan Dunia Para Powerlifting.
Atlet berusia 19 tahun itu melakukan angkatan seberat 207 kilogram untuk muncul juara dalam kategori senior 65kg lelaki.
Lebih membanggakan, Bonnie menewaskan dua pemenang pingat Sukan Paralimpik Rio 2016, Paul Kehinde dari Nigeria serta Liu Lei dari China untuk memperoleh tiket automatik ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Pada mulanya, saya berasa gentar ekoran kehadiran dua juara dunia.
"Saya dapat melakukan 185kg dalam angkatan awal, kemudian saya dapat memperbaiki catatan dengan 195kg dalam percubaan kedua.
"Selepas itu, saya memperjudikan nasib dengan melakukan 207kg.
"Walaupun pada awalnya agak gementar, namun jurulatih tidak berputus asa dalam memberikan kata-kata semangat," katanya.
Bonnie terlebih dahulu meraih emas dalam kategori remaja bawah 65kg dengan mengetepikan lawan menerusi perbezaan jumlah angkatan 50kg untuk merangkul gelaran juara remaja dunia.
;