Hari Sukan Negara (HSN) 2024 rancak di Negeri Selangor menerusi Karnival Jelajah Belia Madani di Sepang anjuran Pejabat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor hari ini.

Ia menyaksikan pelbagai aktiviti sukan disusun untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan melahirkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Selain bola keranjang, pertandingan sepakan penalti bagi merebut Piala Exco Belia, Sukan Dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, turut diadakan termasuk perlawanan bola sepak persahabatan belia empat penjuru di Stadium Mini Sepang.

"Kami sasarkan untuk menjelajah seluruh daerah Negeri Selangor yang bermula di Sepang, selepas ini di Petaling dan Sabak Bernam.

"Kami akan cuba menghabiskannya di tiga daerah sebelum hujung tahun ini dan sambung lagi di enam daerah pada tahun depan.




"Ini ruang untuk saya mendekati belia Negeri Selangor supaya dapat sertai program kesukanan dan pembudayaan belia.

"Dalam masa sama, tarik mereka agar budaya sukan dan kecergasan menjadi salah satu disiplin dalam hidup mereka," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.