Atlet karate negara, Zakiah Adnan, tidak pernah menyangka diberi peluang beraksi dalam Sukan Asia Hangzhou yang bermula bulan depan, malah menyumbangkan pingat kategori kumite bawah 61kg Kejohanan AKF Asia yang menampilkan pencabar lebih berpengalaman.
Jika sebelum ini dia berasakan dirinya kerdil, namun impak daripada kepercayaan yang diberikan MAKAF membangkitkan keyakinannya.
Keyakinan itu secara tidak langsung menjadi titik tolak untuk membentuk karakternya di atas gelanggang yang mampu menghadirkan gerun kepada pihak lawan.
"Ini memang betul-betul satu kejutan bagi saya dan tiba-tiba keyakinan saya melonjak.
"Ini kali pertama penyertaan saya (dalam Sukan Asia) dan kalau dapat sertainya, saya mahukan pingat tanpa kisah kilauannya.
"Atlet nombor satu dunia bagi kategori 68kg, Sofya Berultseva, juga ada di sini jadi saya nak ada karakter tersendiri untuk berasa gah dapat berada di sini.
"Saya mahu buktikan kepada orang luar mengenai kemampuan saya," katanya.
Shaiful Shamsudin
Mon Jul 24 2023