Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan menjadi wakil wanita tunggal negara dalam acara berbasikal Sukan Olimpik Paris 2024 bulan ini.

Prestasi cemerlang pelumba kelahiran Sungai Petani itu menyaksikan ramai menyamakannya dengan jagoan negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Gadis manis berusia 21 tahun dengan ketinggain 152sm itu, bagaimanapun, mahu membina identiti sendiri berbanding menerima gelaran The Pocket Rocketwoman.

Dalam segmen tajaan Allianz, Kapsul Sukan Olimpik Paris, yang disiarkan dalam Nadi Arena sebentar tadi, Nurul Izzah Izzati berkata: "Gelaran The Pocket Rocketwoman itu memberikan saya semangat kerana mereka menyamakan saya dengan Datuk Azizulhasni.

"Tetapi saya harap mungkin selepas ini saya boleh ada gelaran saya sendiri.

"Kerana ketika ini fokus saya hanyalah untuk memperbaiki diri dan menjadi diri sendiri.

"Tetapi gelaran itu memang membuatkan saya lebih yakin dan bermotivasi untuk berkayuh lebih laju dan lebih meningkat dalam acara keirin dan pecut," katanya.