MEMANAH
Kapsul Sukan Olimpik Paris: Bukan pasukan pilihan, trio recurve wanita bakal cipta kejutan?
Gelaran "underdog" beri percikan api kemaraan buat trio recurve wanita negara apabila berjaya membuktikan bahawa mereka juga mampu cipta sejarah untuk menjadi pasukan wanita memanah pertama layak ke pentas berprestij Olimpik di Paris.
Walaupun digandingkan dalam masa yang singkat, keserasian itu tetap hadir untuk meletakkan Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Fazil dan Ariana Nur Damia kini sebagai permata memanah negara.
Bagi Syaqiera Mashayikh pada awalnya dia agak tertekan dengan prestasinya di Antalya namun segalanya berubah setelah mencapai keyakinan diri yang tinggi.
"Memang tertekan sebenarnya sebelum pergi ke Antalya ini untuk saya dapatkan prestasi terbaik untuk saya.
"Untuk tahun ini saya agak sukar sedikit sebab saya punya prestasi nampak biasa dan tidak menaik sangat.
"Memang kita pun baru nak adakan sesi suai kenal macam itu kan? Bagi mewujudkan suasana kesepakatan dan alhamdulillah kami boleh saling melengkapi.
"Saya tak mahu untuk meletakkan angan-angan yang tinggi, saya mengharapkan ada persembahan terbaik dari saya sendiri.
Sementara itu bagi, Nurul Azreena Fazil kejayaan layak ke Olimpik adalah satu pencapaian yang sangat luar biasa bagi mereka dan percaya rezeki tidak pernah salah alamat.
"Pergi ke sana kami tak jangkakan pada awalnya sebab kami adalah pasukan bukan pilihan (underdog), tidak banyak menang pun sebelum ini jadi harapan itu agak rendah.
"Apa nak jadi-jadi sebab semua pun dah tertulis.
"Kami adalah antara pasukan yang bukan dalam kategori professional jadi untuk membuat kejutan adalah satu cabaran yang kami boleh berikan kepada negara-negara lain.
"Usaha saya kan, dari awal saya masuk ke program sampailah sekarang sukar untuk saya tampilkan keupayaan sebenar saya.
Ariana Nur Damia juga luahkan perasaan syukur terhadap kejayaan berganda dirinya di pentas Olimpik itu dan yakin kesepakatan sesama pasukan adalah kunci utama di sana.
"Alhamdulillah saya bersyukur sangat apabila dapat peluang ini sebab awal-awal saya dapat layak secara individu pun sudah menjadi satu rezeki yang besar pun bagi saya sebenarnya.
"Dan apabila layak secara kumpulan pula, adalah satu semanagat sebenarnya bagi saya.
"Satu motiasi bagi saya sebab boleh bergerak sekali dengan rakan sepasukan, dapat sokongan moral dan fizikal di sana di Olimpik, lagi-lagi ini adalah pentas Olimpik debut saya.
"Saya berpendapat apa jua keputusan yang saya dapat kami akan dapat nanti, ianya boleh menhadirkan satu kenangan yang sangat indah buat kami.
"Kesepakatan adalah salah satu faktor paling besar.
"Apa yang saya pegang adalah saya perlu percaya pada diri saya tidak kisahlah apa yang orang akan kata kepada saya sebab apabila saya layak pada November lalu pun ada orang tak percaya pada saya sebab bagi mereka mustahil bagi saya tetapi ketika itu disebabkan saya percaya saya boleh buat alhamdulillah, saya dapat buat ketika itu.