Jurulatih teruja Azeem Fahmi lebih deras daripada pemenang Sukan SEA Kemboja

Shaiful Shamsudin
Mei 14, 2023 19:59 MYT
Jurulatih kepada Muhammad Azeem Fahmi tidak kesal dengan keputusan anak buahnya yang perlu melupakan Sukan SEA Kemboja apabila pelari pecut negara itu menghasilkan catatan yang lebih pantas berbanding pemenang pingat emas acara 100 meter.
Ia susulan prestasi Azeem yang meraih tempat ketujuh dalam Kejohanan SEC di Amerika Syarikat (AS) menerusi masa 10.25s.
Malah, pelari berusia 19 tahun itu mencatat 10.11s di peringkat saringan.
Sebagai perbandingan, pelari Thailand, Soraoat Dabbang, merakamkan pecutan 10.37s ketika menggondol emas 100m dalam temasya edisi ke-32 itu.
"Bukannya Sukan SEA tidak penting baginya tapi kedudukannya di AS lebih penting untuknya meningkatkan prestasi.
"Minggu depan satu pertandingan peringkat negeri di Florida akan diadakan, Azeem perlu berada di kedudukan 14 terbaik untuk layak beraksi dalam kancah NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan)," kata Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.
#Olahraga #100m #Azeem Fahmi #Sukan SEA Kemboja
;