SUKAN LAIN

Jun Hoong mahu rampas kembali tempat Dhabitah

Penulis Jemputan 26/01/2019 | 11:59 MYT
Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, bertekad untuk merampas kembali tempatnya dalam acara 10m platform seirama selepas Nur Dhabitah Sabri dipilih sebagai gandingan baru Pandelela Rinong menjelang Siri Terjun Dunia di Sagamihara, Jepun, Mac depan.
Jun Hoong berdepan tugas penting untuk merampas semula tempatnya dalam acara yang menjadi sandaran untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
Dhabitah dipilih sebagai gandingan baru Pandelela memandangkan Jun Hoong masih menjalani proses pemulihan kecederaan lutut.
Penerjun kelahiran Perak itu dijangka akan pulih sepenuhnya Mac depan, namun masih memerlukan masa untuk kembali mencapai prestasi terbaik.
"Saya masih belum menjalani latihan sepenuhnya.
"Saya perlu bermula dengan perlahan untuk memastikan kecederaan lutut tidak berulang.
"Saya akan mencuba sedaya-upaya untuk berlatih sebaik mungkin bagi mendapatkan kembali prestasi seperti sebelum ini," katanya.
Malaysia meraih pingat perak acara 10m platform seirama dalam edisi Rio 2016.
Gandingan Jun Hoong-Pandelela juga pernah meraih pingat emas dalam Siri Terjun Dunia 2017 -- kejohanan yang membabitkan lapan gadingan penerjun terbaik dunia.
"Jika saya katakan saya sudah bersedia, pada akhirnya, ia akan memberikan kesan kepada diri saya sendiri.
"Kedua-dua penerjun perlu beraksi baik untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang," tambahnya.
Dalam pada itu, bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, menganggap gandingan mantap Pandelela-Dhabitah berupaya membuka peluang Malaysia untuk meraih pingat dalam kejohanan di Jepun itu.
Bryan, bagaimanapun, menyatakan tiada masalah buat mana-mana atlet untuk digandingkan bersama Pandelela, namun ia menjadi peluang terbaik buat Dhabitah untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.
Sebelum ini, gandingan Dhabitah-Leong Mun Yee meraih gangsa acara 10 meter platform seirama dalam Sukan Komanwel Gold Coast, tahun lalu.
"Dhabitah merupakan penerjun serba boleh.
"Dia mampu untuk beraksi dalam pelbagai acara.
"Saya berasakan dia mampu untuk menjadi gandingan yang baik buat Pandelela memandang kedua-dua mereka merupakan penerjun ternama dunia," katanya.
;