TERJUN

Jun Hoong disambut meriah di KLIA

Penulis Jemputan 24/07/2017 | 10:14 MYT
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi saksi sambutan meriah skuad terjun negara sejurus tiba dari Kejohanan Akuatik Dunia FINA di Budapest, Hungary, petang tadi.
Tumpuan tentunya terarah kepada Cheng Jun Hoong yang menggegar dunia menerusi kejayaan muncul juara acara 10 meter platform individu.
"Saya sangat gembira dan sangat menyokong kerjayanya. Saya harap dia terus berjaya. Kami datang dari Ipoh untuk menyaksikannya," kata ibu kepada Jun Hoong, Leow Lai Kuan.
Sementara itu, adik kepada Jun Hoong, Cheong Ju Nie, berkata: "Saya datang dari Singapura untuk menyaksikannnya di sini, bukan mudah. Tetapi melihatnya selepas memenangi Kejohanan Dunia adalah berbaloi.
"Bukannya senang untuk bersamanya. Ini peluang terbaik untuk meraikannya bersama."
Selain pingat emas acara 10 meter platform individu, Jun Hoong turut memenangi gangsa 10m platform seirama bergandingan dengan Pandelela Rinong.
KLIA hari ini dijadual turut menerima ketibaan skuad olahraga para dari London dan skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara dari Bangkok, Thailand.
Dua emas dan satu perak dibawa pulang atlet para negara daripada Kejohanan Dunia di London, iaitu emas acara lontar peluru F20, yang juga rekod dunia ciptaan Muhammad Ziyad Zolkefli dan satu emas lagi menerusi Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20. Pingat perak diraih Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m F36.
Dalam pada itu, skuad bola sepak B-22 turut mencipta kejayaan tersendiri dengan melayakkan diri ke Kejohanan AFC B-23 tahun depan selepas muncul juara peringkat kumpulan dalam kempen kelayakan di Bangkok, semalam.
#Cheong Jun Hoong #FINA World Championships #Pandelela Rinong #Kejohanan Akuatik Dunia FINA #FINA
;