Stadium Astro logo
OLAHRAGA

Jonathan Nyepa beri bayangan tidak pertahan gelaran demi Sukan SEA Thailand 2025

article-author-avatar
Zaki Zainal 06/04/2025 | 12:08 MYT
Article ribbon Jonathan Nyepa beri bayangan tidak pertahan gelaran demi Sukan SEA Thailand 2025
Juara keseluruhan acara 100 meter pecut lelaki Cahya Mata Sarawak Super Series edisi lalu, Jonathan Nyepa, memberi bayangan untuk tidak mempertahankan gelarannya musim ini.
Perkara itu didedahkan susulan keutamaan dia yang kini tertumpu sepenuhnya kepada usaha melayakkan diri ke Sukan SEA di Thailand, dalam mana-mana acara pecut yang dipertandingkan.
“Fokus utama saya ketika ini adalah Sukan SEA. Tidak kira 100(m), 200(m) mahupun 4x100(m) mana-mana pun boleh. Untuk Super Series saya memang tidak berapa fikir sangat sebab setiap bulan akan ada kejohanan jadi saya tiada masalah. Sukan SEA sekali sahaja dalam tempoh dua tahun jadi fokus saya lebih kepada Sukan SEA ,” katanya.
Walaupun begitu, atlet berusia 29 tahun itu menegaskan bahawa Cahya Mata Sarawak Super Series tetap mempunyai tempat istimewa dalam kariernya dan tidak akan dilupakan.
Dalam perkembangan lain, Jonathan turut meluahkan rasa bangga melihat kemunculan pelari pecut muda yang kini memberi cabaran lebih sengit dalam kejohanan tempatan.
“Saya teruja melihat pelari muda semakin berani bersaing. Persaingan sihat macam ini buat saya lebih bersemangat dan termotivasi untuk terus beri yang terbaik,” jelasnya.
Jonathan menyifatkan saingan yang diberikan sebagai sesuatu yang positif untuk perkembangan sukan olahraga tanah air dan menjadi pendorong kepada semua atlet untuk tampil dengan prestasi terbaik.
Dengan pengalaman dan dedikasi yang dimilikinya, Jonathan kekal menjadi antara harapan negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas serantau.
#Olahraga #Johnatan #Nyepa