Pemegang rekod lontar peluru negara, Jonah Chang Anak Rigan, memulakan lembaran tahun 2025 dengan azam untuk mencipta sejarah baharu dalam kariernya di bumi Korea Selatan, negara di mana dia memecahkan rekod kebangsaan 12 tahun pada kejohanan Asian Throwing Championship 2023.
Atlet berusia 22 tahun ini kembali dengan reputasi yang lebih kukuh selepas mencatatkan pencapaian luar biasa dengan memperbaharui rekod kebangsaannya sebanyak empat kali pada tahun lalu.
Jonah tidak berselindung dengan keyakinan tinggi yang diluahkan untuk terus mengukir pencapaian cemerlang, terutamanya di Kejohanan Asian Track and Field yang akan berlangsung di Gumi, Korea Selatan pertengahan tahun ini.
“Saya masih ingat kali pertama saya memecahkan rekod di Korea pada Asian Throwing Championship.
"Kali ini saya akan bertanding dalam kejohanan yang lebih besar, Asian Track and Field, dan saya berharap dapat mencatatkan satu lagi rekod baharu di sana,” katanya.
Jonah turut mengakui bahawa memecahkan rekod yang dilakar sendiri bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia memerlukan ketekunan, disiplin dan tempoh masa panjang untuk memperbaiki rekod yang telah dicipta.
Namun, dengan semangat juang yang tinggi, dia percaya bahawa kejayaan itu tidak mustahil untuk dicapai.
“Tidak senang untuk pecahkan rekod, ia memerlukan masa yang lama untuk pecahkan rekod sendiri, jadi saya hanya mampu berharap untuk berikan persembahan yang terbaik," katanya.
Bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik, dia perlu melalui kem latihan selama seminggu di Pulau Langkawi, di bawah program pemerkasaan jurulatihnya, Frantisek Petrovic.
"Persediaan saya di Korea sangat rapi dan cuaca terkini di sana memberikan keadaan yang sangat ideal untuk latihan.
"Cuaca 23°C adalah suhu terbaik bagi saya untuk memberikan persembahan terbaik," tambahnya.
Program latihan tersebut direka khusus untuk mempersiapkan Jonah bagi menghadapi jadual pertandingan yang lebih padat pada tahun ini.
Husna Zainudin
Sun Jan 05 2025