MENEMBAK

Johnathan Wong Kembali pecahkan rekod kebangsaan selepas 10 tahun

Muzaffar Musa 19/01/2025 | 05:31 MYT
Jaguh menembak negara, Johnathan Wong, kembali memecahkan rekod kebangsaan yang dipegangnya sejak 10 tahun lalu dalam Kejohanan Menembak SEASA di Taiwan kelmarin.
Olimpian dua kali itu menghimpunkan 586 mata keseluruhan ketika mengungguli pusingan kelayakan acara 10m air pistol lelaki, sekali gus mengatasi rekod 585 mata yang dilakukannya dalam Kejohanan Menembak Trofi Tun Hanif di Lapang Sasar Subang pada 2015.
"Permulaan tahun 2025 yang luar jangkaan. Akhirnya berjaya memecah rekod kebangsaan dengan markah 586, serta mencipta rekod kualifikasi SEASA dalam acara individu 10m air pistol lelaki," tulis Jhonathan dalam satu kiriman media sosial.
"Walaupun dengan hanya penambahan satu markah daripada 585 yang saya pegang sejak 2015, ia menunjukkan bahawa setiap usaha dan dedikasi yang dicurahkan selama ini membuahkan hasil.
Perjalanan ini bukan mudah tetapi kepercayaan kepada diri sendiri dan sokongan daripada semua yang sentiasa berada di belakang saya telah menjadikan kejayaan ini lebih bermakna.
"Terima kasih kepada jurulatih, keluarga, rakan sepasukan, dan semua yang tidak pernah putus memberikan motivasi. Ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak pencapaian di masa hadapan," katanya.
#Menembak #Johnathan Wong #Rekod kebangsaan
;