TINJU
JIBC: 'Saya tahu cara 'laukkan' lawan, rasa sendiri dekat muka!'
Kejuaraan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2025 merupakan pentas idaman buat Syaqim Aimil sejak mula menceburi arena sukan tempur sedekad lalu.
Nama Syaqim cukup dikenali dalam komuniti sukan tempur memandangkan petinju berusia 29 tahun itu bermaharajalela dalam sukan muay thai, kickboxing dan terkini adalah tinju.
Lebih signifikan, Syaqim bakal membuat kemunculan pertama dalam perlawanan profesional — dan lawannya bukan calang-calang iaitu, Indran Ramakrishnan yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kategori Middleweight.
Tiada niat untuk bersikap sombong — namun, Syaqim optimis untuk meluaskan pengaruhnya di pentas profesional dan Arena Larkin Johor Bahru bakal menjadi saksi dirinya melebarkan rekod kemenangan.
Syaqim yang lebih sinonim dengan gelaran 'The Box Chef' memiliki rekod enam kemenangan dalam tujuh aksi — Dua kemenangan terbesar itu berakhir dengan keputusan Technical Knockout (TKO).
Susuk tubuh tinggi lampai dan tegap Syaqim mencerminkan keinginannya untuk mengekalkan status tanpa kalah buat tahun keenam — sejak tumbang kepada lawan pada 2019.
"Untuk perlawanan kali ini persediaan agak 'gempak'! Jadi ini peluang untuk saya serlahkan diri saya dalam bidang boxing ini.
"Untuk lawan, saya rasa tiada masalah kerana saya sudah berlatih habis-habisan. Apa yang saya dengan tentang latar belakang dia itu hanya sekadar dengar.
"Saya dengar boleh, takut itu tidak. Dengan rekod dia, saya rasa tiada apa-apa, tahun ini mungkin dia boleh bersara. Saya chef dan peninju, sikap itu saya akan bawa dalam gelanggang. Saya tahu cara untuk laukkan lawan saya. Rasa sendiri dekat muka!" katanya.
Dapatkan tiket anda di sini.