JIBC: Farkhan sasar kemenangan KO terakhir, kekal rekod bersih sebelum bersara
Muzaffar Musa
Januari 17, 2025 20:48 MYT
Januari 17, 2025 20:48 MYT
Jaguh tinju profesional negara, Farkhan Haron, yakin akan dapat mengatasi lawan dari India, Jaskaran Singh, secara knock-out (KO) dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2025 di Johor Bahru bulan depan.
Farkhan ketika ini memegang rekod bersih dengan 12 kemenangan tanpa kalah dan mengakui masih bernafsu untuk mempertahankan gelaran juara Asia bagi kelas bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dalam pertarungan berkenaan.
Seandainya kemenangan memihaknya, peninju berusia 36 tahun itu akan bersara dengan rekod paling cemerlang dengan 13 kemenangan tanpa sebarang kekalahan.
"Saya memiliki rekod 11 KO tetapi saya sedih kerana dalam acara terakhir sebelum ini, saya tidak dapat (kemenangan) KO," katanya dalam sidang media seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Kalau tidak, rekod saya menang 12 KO tetapi tiada rezeki.
"Macam saya katakan, saya tidak berada dalam kondisi terakhir dalam pertarungan lalu tetapi kali ini, saya boleh katakan yang saya amat cergas.
"Saya turun daripada 131 kilogram, berlatih pagi dan petang dan antara yang memenatkan dan memeningkan saya ialah latihan kepantasan di bukit sejauh 150 meter selama 15 minit tanpa henti dan meneruskannya untuk mendapatkan 30 minit.
"Kami fokus kepada tenaga daya ketahanan dan saya rasa saya kini berada dalam keadaan yang baik dan saya akan membuktikan yang saya masih tidak terkalahkan," katanya.