TINJU
JIBC: Farkhan Haron congak strategi terbaik tumbangkan peninju 10 tahun lebih muda
Jaguh tinju profesional negara, Farkhan Haron, berkata dia sudah mencongak strategi terbaik untuk berdepan peninju yang 10 tahun lebih muda darinya, Jaskaran Singh, menjelang acara utama Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) di Arena Larkin, Johor Bahru hujung minggu ini.
Akan bertarung bagi perebutan tali pinggang WBC Asia Bridgeweight menentang jaguh India, Jaskaran Singh, Farkhan mengakui lawan itu memiliki jangkauan yang lebih jauh tetapi dia juga memiliki kelebihan tersendiri.
Sebagai rekod, Farkhan, 37, memiliki rekod tanpa kalah 12-0 di arena profesional dan 11 daripada kemenangan itu diperoleh secara (knockout) KO.
Iklan
"Saya rasa daripada segi umur dan daripada segi ketinggian, ia berpihak kepada lawan saya, Jaskaran Singh," katanya kepada Nadi Arena sebentar tadi.
"Dia pada tahun ini berusia 27 tahun, 10 tahun lebih muda daripada saya.
"Selain itu, dia juga memiliki ketinggian 6 kaki 3 inci berbanding saya 5 kaki 9 inci.
"Tetapi saya sudah menaikkan berat badan, jadi saya akan mengambil cabaran ini dengan positif.
"Daripada segi jangkauan, dia memiliki ketinggian yang lebih baik daripada saya, jadi ia akan memberikan kelebihan kepadanya daripada segi jangkauan.
"Tetapi saya yakin, daripada segi kelajuan, kekuatan tumbukan dan pengalaman, ia akan memihak kepada saya, Insya-Allah."
Dapatkan tiket anda di sini.
Must-Watch Video